Sunday, April 10, 2011

Tiada tangis bukan bererti hati itu tidak pernah sedih....

Nazla terpaksa dipindahkan ke CCU. Terdapat kuman dalam darahnya. Memburukkan lagi keadaan diri yang sememangnya sangat lemah. Zairy bagai orang yang hilang arah. Dia hanya pulang sebentar untuk mandi dan menukar pakaian, itu pun setelah dipaksa keluarga mentuanya. Telah 3 hari Nazla koma. Wajah itu pucat benar. Detak nafasnya sangat perlahan. Zairy tidak berhenti berdoa. Memohon agar Nazla jaga.

"Abang...peluk Naz, sejuk..."

"Mari sayang..." Tubuh isterinya didakap erat. Dahi Nazla diciumnya. Tubuh Nazla sejuk...

"Abang...maafkan Naz. Terima Kasih, Naz sayang abang." Tangan Zairy dicium penuh kasih. Zairy memeluk Nazla lebih erat.

"Abang sayang Naz. Naz tiada salah dengan abang. Tidur sayang...sayang dia tau?.."

"Sayang dia jugak...." Tangan Zairy dicium berkali-kali.

"Abang...bangun sayang...Naz kena pergi sekarang....Maafkan Naz, Abang..." Nazla yang bertelekung mencium tangannya. Dan dengan perlahan Nazla berjalan meninggalkan Zairy.

"Naz...tunggu abang..." Tubuh Nazla makin hilang dari pandangannya. Ke mana Nazla pergi?...Zairy bagai tersedar. Dia bangun tergesa-gesa. Namun Nazla telah tiada di situ.

"Naz...jangan tinggal abang sayang" tanpa sedar ada air mata yang mengalir. Hati rasa sayu tiba-tiba.

**********************************************************************************

"Zairy...Zairy..."

Terasa bahunya ditepuk lembut.

"Ohhh...Abah...dah lama sampai" Mata digosoknya perlahan. Tangan tua itu diciumnya. Abah terus memeluk Zairy erat. Zairy terpinga.

"Nazla kenapa abah?..." Zairy mula panik. Dia terus menuju ke bilik CCU. Entah berapa lama dia tertidur di lobby hospital. Telefon bimbitnya pula tertinggal di dalam kereta.

Semua ahli keluarga telah berada di luar CCU. Zairy makin resah. Semua berwajah muram. Zairy terduduk melihat tubuh Nazla yang tertutup. Nazla telah tiada!.

Tiada air mata dimatanya. Terasa bagai angin telah menerbangkan separuh dirinya.
Terasa begitu kosong. Pelukan abah bagai tiada rasa.

"Naz...kenapa Naz tak tunggu abang sayang..." suara itu sangat perlahan. Lama dia terduduk di situ. Mencari kekuatan diri. Cuba untuk tabah. Bagai mimpi tadi.....

**********************************************************************************

Zairy membisu seribu bahasa. Ketika mayat dimandikan dia di situ.

"Abang maafkan Naz, abang halalkan semuanya untuk sayang. Abang redha semuanya. Dia lebih sayangkan Naz dari abang". Suaranya perlahan. Tiada air mata tumpah. Dijirusnya tubuh itu penuh kasih. Yang memandang hanya mampu untuk terharu.

Ketika Talkin dibaca pun dia tidak menangis. Wajahnya kosong. Ramai yang menangis ketika melihat Zairy mencium dahi Nazla buat kali terakhir.

"Selamat tinggal sayang abang. Abang maafkan sayang. Abang redha..." Dia tersenyum selepas mengungkapkannya. Wajah Nazla tenang. Namun tiada siapa dapat meneka gelodak hati Zairy.

Nazla pulang kepangkuan Yang Maha Esa pada subuh penghulu segala hari. Pergi membawa luka dan dukanya.